DAGING KAMBING BAIK UNTUK JANTUNG
KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Entah mengapa ramai
kalangan kita memilih untuk menolak sajian daging kambing yang sering
dipersalahkan sebagai penyebab masalah kolestrol dan darah tinggi yang
kemudian membawa kepada penyakit jantung.
Sedangkan pada masa kini, kambing merangkumi 63 peratus daging yang
dimakan di seluruh dunia, termasuk menjadi sumber protein utama di
banyak negara Arab dan Afrika Utara, selain penting di rantau Asia
Tenggara, kepulauan Caribbean dan kawasan tropika yang lain.
Di Barat pula, daging kambing makin mendapat publisiti meluas
sebagai sumber protein yang lebih menyihatkan berbanding daging lembu,
malah terdapat kajian yang menyatakan ia lebih sesuai untuk dimakan oleh
penghidap masalah berkaitan jantung.
Kumpulan penyelidik dari Sistem Kerjasama Pendidikan Lanjutan
Alabama (Alabama Cooperative Extension System-ACES) yang terdiri
daripada Universiti Alabama dan Universiti Auburn misalnya, turut
mengadakan program pendidikan awam yang mempromosi daging kambing
sebagai makanan yang lebih sihat.
KOMPOSISI KHASIAT
Kajian ACES berkenaan khasiat daging kambing matang berbanding
lembu, kambing muda, bebiri, khinzir dan ayam mendapati bahawa daging
yang dihasilkan oleh kambing adalah lebih pejal dan mengandungi
komposisi khasiat yang lebih baik.
Kesimpulan utama yang mereka dapati ialah kambing mengandungi paras
kolestrol dan lemak tepu yang jauh lebih rendah berbanding daging lain,
menjadikan ia sebagai pilihan makanan alternatif daging merah terbaik.
Dengan menggunakan potongan daging seberat tiga auns atau 85 gram,
didapati kambing hanya mempunyai 2.6 gram kandungan lemak berbanding
lembu yang mempunyai 7.9 gram lemak, kambing muda (lamb) (8.1 gram),
khinzir (8.2 gram) dan ayam (6.3 gram).
Melihat dari segi kalori pula, kambing mempunyai 122 kalori (kal),
berbanding lembu (179 kal), kambing muda (175 kal), khinzir (180 kal)
dan ayam (162 kal).
Selain itu, kandungan lemak tidak tepu kambing jauh lebih tinggi
berbanding daging jenis lain, ini adalah baik untuk pemakanan manusia
memandangkan lemaktak tepu membantu merendahkan risiko penyakit jantung
dan strok.
Kebaikan lain yang menjadikan daging kambing sebagai sumber protein
ideal ialah ia mengandungi semua jenis asid amino yang diperlukan tubuh
serta kandungan zat besi yang tinggi dan mampu membantu penghidap
anemia.
BAIK UNTUK JANTUNG
Kajian klinikal oleh Universiti Harvard pula, mengesahkan bahawa
lemak tepu adalah lemak tidak sihat yang meningkatkan risiko pelbagai
penyakit kardiovaskular, sedangkan lemak tidak tepu bagus untuk membantu
membaiki paras kolestrol, melegakan keradangan, menstabilkan rentak
jantung dan banyak lagi kebaikan yang lain.
Mereka turut mendapati bahawa lemak tepu menyebabkan paras kolestrol
tidak baik meningkat dalam darah sedangkan lemak tidak tepu pula
membantu mengurangkan keburukan itu dengan menaikkan paras kolestrol
baik.
Keburukan utama kolestrol tidak baik dalam darah ialah kemampuannya
untuk melekat di dinding salur arteri dan menyebabkan plak yang
menjadikan ruang salur darah sempit atau tersekat, yang seterusnya
menyebabkan serangan jantung atau strok.
Lantas penemuan itu mengukuhkan lagi keyakinan ACES bahawa daging
kambing membantu mengurangkan paras kolestrol dalam darah, mengurangkan
risiko atherosklerosis dan penyakit jantung menjadikannya sesuai
dimasukkan ke dalam diet jantung sihat.
Sebagai galakan pemakanan daging kambing, ACES turut menggaris dua peraturan asas menyediakan masakan berasaskan kambing.
"Ini termasuk gunakan suhu rendah kerana suhu yang terlalu panas
akan menyebabkan daging kambing cepat liat, peraturan kedua pula ialah
memasak daging di dalam kelembapan seperti peraman (marinade) basah
sebelum dimasak ataupun masakan berkuah seperti kari atau stew," lapor
mereka.
SUSU BERKHASIAT
Semua kelebihan daging kambing dari segi kesihatan itu turut diakui
oleh penyelidik dari Jabatan Pertanian Universiti Babcock, Nigeria.
Malah, kumpulan penyelidik itu menekankan kepentingan nilai nutrisi
kambing dalam aspek pengurusan kesihatan manusia sebagaimana yang
dilaporkan menerusi artikel mereka yang diterbitkan dalam Jurnal
Pertanian dan Kajihayat Amerika Utara.
Antara lain, artikel itu menyebut bahawa di Okinawa Jepun misalnya,
ibu hamil dan yang baru bersalin digalakkan memakan daging kambing untuk
menguatkan fizikal dan mengatasi keletihan.
Ia turut membincangkan kepentingan susu kambing yang mempunyai
komposisi yang lebih unik iaitu globular lemak yang lebih kecil dan
mudah dihadamkan berbanding susu lembu.
"Sifat itu membolehkan susu kambing digunakan untuk merawat masalah
alergi pada susu lembu, menjadikannya susu alternatif terbaik dan sangat
penting kepada bayi, orang dewasa dan juga ibu yang menyusukan bayi,"
tambah laporan itu.
Selain itu, mereka mendapati kandungan zat mineral susu kambing
adalah lebih tinggi berbanding mamalia lain menjadikannya amat berguna
untuk merawat penyakit anemia yang diakibatkan oleh kekurangan zat besi
dan penyakit tulang rapuh selain dilaporkan berguna dalam rawatan
kencing manis.
Artikel itu turut menjelaskan kebaikan susu kambing untuk kesihatan
kulit, khususnya untuk membantu merawat penderita masalah seperti
psoriasis, ek zema atau jerawat.
"Pakar dermatologi biasanya menggalakkan pesakit menggunakan sabun
pembersih berpelembab berasaskan susu kambing untuk membantu melegakan
kulit kering dan gatal dan seterusnya menyembuhkan penyakit kulit,"
lapornya.
POTENSI PENTERNAKAN
Memandangkan terdapat banyak bukti saintifik berkaitan khasiat dan
kebaikan daging serta susu kambing yang semakin diketahui ramai, maka
tidak mustahil permintaan bekalan global akan melonjak naik dalam waktu
terdekat.
Malaysia dilihat amat berpotensi untuk muncul sebagai pengeluar
kambing bagi memenuhi permintaan itu berdasarkan kesesuaian keadaan
iklim negara yang panas dan lembab sepanjang tahun.
Penternakan kambing meskipun dimulai secara kecil-kecilan tetap
mampu mencapai kejayaan yang tinggi memandangkan kambing matang dengan
cepat dan membiak seawal usia lapan bulan.
Lagipun, pemakanan kambing tidak cerewet dan boleh dibiarkan bebas
meragut rumput dan tumbuhan renek belukar di kawasan kampung selain
najisnya yang lebih kecil dan tidak sebusuk najis lembu.
Walaupun satu ketika dulu, penternakan kambing di Malaysia lebih
sinonim dengan kaum India yang memang gemarkan sajian kambing
terutamanya masalla, trend itu mula berubah kebelakangan ini.
Kini, semakin ramai pengusaha muda Melayu termasuk lepasan ijazah
yang menjadikan kambing sebagai sumber rezeki khususnya bagi memenuhi
permintaan untuk majlis akikah dan Hari Raya Aidiladha.
Tambahan pula, kerajaan telah banyak mengadakan pelbagai galakan
untuk pengusaha muda membangunkan diri menjadi usahawan kambing yang
berjaya sekaligus memajukan industri penternakan kambing untuk membantu
menjana ekonomi kawasan luar bandar.
Ini sekaligus menggalakkan percambahan ladang penternakan dari
pelbagai baka dan hibrid kambing, menyediakan pelbagai peluang kerja
kepada anak muda dan membantu menjana ekonomi luar bandar tanpa banyak
risiko.
Wallahu'alam..